MBSA : SESI ANGKAT SUMPAH YBHG. DATO' ZABIDAH BINTI SAFAR, DATUK BANDAR SHAH ALAM KE-13

 
20/02/2026

SESI ANGKAT SUMPAH YBHG. DATO' ZABIDAH BINTI SAFAR SEBAGAI DATUK BANDAR SHAH ALAM KE-13 – DATUK BANDAR WANITA PERTAMA DI SHAH ALAM

Adalah dimaklumkan bahawa YBhg. Dato' Zabidah binti Safar telah dilantik sebagai Datuk Bandar Shah Alam Ke-13 berkuat kuasa mulai 19 Februari 2026. Sesi Angkat Sumpah beliau telah berlangsung pada 20 Februari 2026 (Jumaat) di Dewan Perbandaran, Wisma MBSA.

Pelantikan ini mencatat sejarah tersendiri apabila YBhg. Dato' Zabidah binti Safar menjadi Datuk Bandar wanita pertama di Shah Alam, sekali gus melakar satu lagi pencapaian penting dalam landskap kepimpinan pentadbiran bandar raya ini.

Beliau menggantikan YBhg. Dato' Haji Mohd Fauzi bin Haji Mohd Yatim, Datuk Bandar Shah Alam Ke-12, yang telah dinaikkan pangkat sebagai Ketua Pengarah, Jabatan Ketua Pengarah Tanah dan Galian Persekutuan (JKPTG) Gred Utama B di bawah Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam.

YBhg. Dato' Zabidah binti Safar berkelulusan Sarjana Pentadbiran Awam daripada Universiti Malaya serta Ijazah Sarjana Muda Ekonomi (Pentadbiran Awam) Kepujian daripada Universiti Malaya. Beliau juga merupakan graduan Diploma Pengurusan Awam daripada Institut Tadbiran Awam Negara (INTAN).

Beliau telah menyertai perkhidmatan awam pada 25 Januari 1995 sebagai Penolong Setiausaha di Kementerian Dalam Negeri dan mempunyai pengalaman luas lebih 30 tahun dalam pentadbiran kerajaan di peringkat Persekutuan dan Negeri.

Sepanjang perkhidmatan, beliau pernah berkhidmat di Kementerian Dalam Negeri, Jabatan Perkhidmatan Awam, Pentadbiran Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor serta Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri.

Beliau telah berkhidmat antaranya sebagai Penolong Pengarah di Jabatan Perkhidmatan Awam, Ketua Penolong Pegawai Daerah di Pejabat Daerah dan Tanah Hulu Langat, Ketua Penolong Pegawai Kewangan di Unit Belanjawan Pengurusan Kewangan, Perbendaharaan Negeri Selangor dan Pengarah Kanan Pegawai Tadbir dan Diplomatik Gred Utama C di Bahagian Sokongan Perdagangan dan Industri Pejabat Timbalan Setiausaha Pembangunan Industri dan Daya Saing, Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri.

Pada 23 September 2022, beliau telah dilantik sebagai Pegawai Tadbir dan Diplomatik Gred Utama B di Pejabat Pegawai Kewangan Negeri, Jabatan Kewangan Negeri Pulau Pinang sehingga pelantikan beliau sebagai Datuk Bandar Shah Alam Ke-13.

Sepanjang tempoh perkhidmatan, beliau mempunyai kepakaran dalam bidang pengurusan kewangan, pembangunan industri, perancangan strategik, pengurusan ekonomi, hubungan antarabangsa serta pembangunan organisasi.​

Dengan pengalaman luas dalam perkhidmatan awam, pelantikan YBhg. Dato' Zabidah binti Safar sebagai Datuk Bandar Shah Alam Ke-13 diharapkan akan terus memperkasakan perkhidmatan dan kecemerlangan MBSA sebagai Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) yang progresif, proaktif dan berdaya saing bukan sahaja di Negeri Selangor dan juga Malaysia malahan di persada antarabangsa.