Serah Permit Ramadhan

​BERITA

Majlis Bandaraya Shah Alam Serah 1537 Permit Bazar Ramadhan Kepada Para Penjaja
​Sempena Bulan Ramadhan Tahun 2014

17 Jun 2014
Auditorium,  MBSA

​Adalah dimaklumkan pihak Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) telah mengeluarkan 1537 permit bazar Ramadhan kepada para penjaja yang akan berniaga sepanjang bulan Ramadhan pada tahun ini.

Sehubungan itu, pihak MBSA akan mengadakan Majlis Penyerahan Permit kepada para penjaja selama 3 hari mulai 17 hingga 19 Jun 2014 bertempat di Auditorium,  MBSA. 

Sebelum penyerahan permit dilakukan pihak Majlis turut mengadakan sesi ceramah berunsur kerohanian bertajuk "Kebersihan Adalah Suatu Ibadah" yang disampaikan oleh Ustaz Mohd Basori b. Hj. Umar, Ketua Penolong Pengarah Bahagian Dakwah, Jabatan Agama Islam Selangor untuk meningkatkan kesedaran penjaja agar sentiasa mementingkan aspek bersih semasa menyediakan makanan. Turut diadakan penerangan ringkas berkenaan zakat dan perniagaan daripada wakil Lembaga Zakat Selangor.

Bayaran permit yang dikenakan adalah berbeza mengikut jenis perniagaan iaitu jualan makan dan minuman  RM215, jualan air tebu/air kelapa sebanyak RM440, jualan berbakar RM440 dan jualan ayam golek sebanyak RM505.

Sebanyak 27 lokasi tapak bazar Ramadhan telah dikenalpasti di kawasan pentadbiran MBSA.

Para penjaja dinasihati supaya mematuhi syarat dan peraturan yang telah ditetapkan seperti menggunakan apron dan topi semasa menjalankan perniagaan, penyediaan tong sampah dan plastik sampah di tapak penjaja serta tidak meninggalkan peralatan perniagaan seperti kerusi, meja, khemah di tapak penjaja selepas perniagaan.

Para peniaga dan pembantu  juga dimestikan untuk mendapatkan suntikan anti-typhoid (TY2).  Peniaga juga hanya dibenarkan berniaga di tempat yang diluluskan sahaja dan diminta menjaga kebersihan di kawasan tapak berniaga atau tindakan kompaun akan dikenakan jika peniaga meninggalkan tapak dalam keadaan yang kotor dan tidak dikemaskan.

MBSA juga akan mempertingkatkan pemantauan di kawasan bazar Ramadhan bagi memastikan para penjaja mematuhi syarat dan peraturan yang telah ditetapkan oleh pihak MBSA melalui pemantauan secara berterusan oleh anggota penguatkuasa untuk menjaga lalulintas dan juga kakitangan daripada Jabatan Pelesenan dan Penguatkuasa yang akan memantau dari sudut pelesenan dan kakitangan daripada Jabatan Perkhidmatan Bandar yang akan memeriksa dari sudut kebersihan dan pengendalian makanan dan minuman.        

Majlis taklimat telah dirasmikan oleh YBhg. Dato' Hj. Mohd Jaafar b. Hj. Mohd Atan, Datuk Bandar Shah Alam. Turut hadir bersama Tn. Hj. Rosli b. Bakar, Pengarah Pelesenan dan Penguatkuasaan MBSA, Ahli Majlis dan Pengarah-Pengarah Jabatan MBSA.​

Permit Ramadhan
Permit Ramadhan
Permit Ramadhan
Permit Ramadhan
Permit Ramadhan
Permit Ramadhan
Permit Ramadhan
Permit Ramadhan