‘GREEN APPLE AWARD’

​​BERITA

​MAJLIS BANDARAYA SHAH ALAM TERIMA PENGIKTIRAFAN ANTARABANGSA 'GREEN APPLE AWARD' MENERUSI PROJEK PENGINDAHAN LORONG BELAKANG​
11 November 2014​​​

Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) berjaya memenangi anugerah bertaraf antarabangsa 'Green Apple Award' bagi kategori 'Best Environment Practice' dengan mengetengahkan hasil daripada Projek Pengindahan Lorong Belakang yang dilaksanakan di kawasan pentadbiran MBSA.

Majlis penganugerahan ini diterima oleh Pn. Asmah Bt. Mohd Zin, Pengarah Korporat dan Pembangunan Komuniti bersama Pn. Nurul Sheema bt. Abdul Rahman, Timbalan Pengarah 1 Perancangan semasa Majlis Penyampaian 'Green Apple Award 2014'  pada 10 November 2014 bertempat di The House of Parliament, London.

'Green Apple Award 2014' merupakan anugerah yang dianjurkan oleh pihak The Green Organisation yang berpangkalan di United Kingdom bertujuan menggalakkan kempen alam sekitar dan mengiktiraf amalan menjaga alam sekitar yang diamalkan oleh sesebuah pertubuhan, organisasi, badan bukan kerajaan (NGO), pihak swasta dan kerajaan dari seluruh dunia.​

Program Pengindahan Lorong Belakang yang dilaksanakan oleh MBSA bertujuan mengubah persepsi negatif masyarakat terhadap kawasan lorong belakang yang tidak terurus kepada persepsi positif bahawa lorong belakang ini boleh berubah menjadi pusat tumpuan pelancongan, menggalakkan aktiviti komuniti setempat, seni dan budaya. Program Pengindahan Lorong Belakang telah dilaksanakan di kawasan Seksyen U6, Seksyen 2, dan juga Seksyen 7. Kawasan lorong belakang di Seksyen 2 dan 7 kini dikenali sebagai Laman Seni 2 dan Laman Seni 7

Projek Laman Seni 2 ini berjaya direalisasikan melalui perkongsian pintar (Smart Partnership) di antara MBSA dan syarikat korporat iaitu Bank Muamalat Malaysia Berhad yang telah memberikan sumbangan bagi menjayakan projek ini serta kerjasama daripada pelajar Fakulti Senibina, Perancangan dan Ukur, Universiti Teknologi Mara (UiTM) yang diberi tugasan untuk menceria dan memperindahkan lagi dinding lorong belakang di bahagian kawasan komersial.

Manakala Laman Seni 7 diadakan dengan melaksanakan Pertandingan Pengindahan Lorong Belakang melalui lukisan mural yang bertemakan komuniti Shah Alam atau 'Shah Alam community', tarikan pelancongan atau 'tourist attraction' dan berkonsepkan kehijauan atau 'green concept'. 4 jenis kategori akan dipertandingkan iaitu '3D Painting', '3D Installation', 'Street Furniture' dan 'Painting On Site'. Lorong belakang kawasan komersial Jalan Plumbum Q7/Q, Seksyen 7, Shah Alam menjadi pilihan pihak MBSA untuk melaksanakan pertandingan ini.

Sebelum ini, MBSA turut memenangi Anugerah 'Planning Excellence Awards 2014' melalui kategori 'Place Making & Public Space Award' daripada Pertubuhan Perancang Malaysia (MIP) hasil daripada Projek Pengindahan Lorong Belakang pada Majlis Penganugerahan MIP 'Planning Excellence Awards 2014' yang dianjurkan oleh pihak Pertubuhan Perancang Malaysia (MIP) bertempat di Hotel Intercontinental, Kuala Lumpur, pada 12 September 2014.

Penganugerahan dan pengiktirafan ini menjadi dorongan dan motivasi kepada warga kerja MBSA untuk memberi perkhidmatan yang lebih cekap dan efisyen kepada masyarakat khususnya kepada warga kota Shah Alam.​​

green1.JPG​​​green2.JPG