BERITA
Program Kitar Semula Peringkat Sekolah 2014 Anjuran Bersama F&N Beverages Marketing Sdn. Bhd.
2 April 2014
Laman Budaya Taman Tasik Shah Alam
Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) dengan kerjasama F&N Beverages Marketing Sdn. Bhd menganjurkan Pertandingan Kitar Semula Peringkat Sekolah Tahun 2014 buat kali kelapan berturut-turut. Inisiatif berterusan pihak Majlis ini untuk mendidik masyarakat khususnya golongan pelajar mengenai pentingnya amalan kitar semula dan menjaga persekitaran demi manafaat generasi akan datang.
Program murni yang diadakan dengan kerjasama F&N Beverages Marketing Sdn. Bhd antara lain bertujuan untuk meningkatkan kesedaran di kalangan masyarakat khususnya pelajar terhadap kepentingan amalan kitar semula dalam kehidupan harian sekaligus mengurangkan pencemaran alam sekitar yang berpunca daripada sikap tidak prihatin dan tidak menghargai kepentingan alam sekitar dalam kehidupan harian.
Pertandingan terbuka kepada sekolah rendah dan sekolah menengah di bawah pentadbiran MBSA. Sekolah – sekolah yang terlibat di kehendaki untuk mengumpul barangan yang boleh dikitar semula seperti kertas, aluminium dan plastik. Sekolah yang berjaya mengumpul bahan kitar semula yang terberat akan menerima hadiah yang disediakan oleh pihak F&N Beverages Marketing Sdn. Bhd. Pada tahun 2013, pertandingan ini berjaya mengumpul berat kutipan kitar semula sebanyak 67,655 kilogram dengan penyertaan sekolah menengah sebanyak 9 buah sekolah dan 12 buah sekolah rendah.
Bagi mencapai matlamat mendidik sikap mengamalkan kitar semula dalam kehidupan harian bermula dari peringkat kanak-kanak, kategori tadika telah diperkenalkan pada tahun ini. Amalan kitar semula seperti ini perlu dipupuk dari awal lagi bagi menanam minat dan menerapkan kepentingan menjaga alam sekitar dalam diri mereka.
Program Kempen Kitar Semula Peringkat Sekolah ini telah diberi sokongan dan galakkan sepenuhnya daripada agensi-agensi kerajaan dan badan korporat yang mendukung amalan kitar semula ini seperti Bahagian Pengurusan Sekolah Harian, Kementerian Pendidikan Malaysia, Putrajaya, Pejabat Daerah Petaling Perdana, Pejabat Daerah Petaling Utama, Pejabat Daerah Klang,Pejabat Daerah Gombak, Syarikat Karangkraf Network Sdn. Bhd., Syarikat Gardenia Bakeries (KL) Sdn. Bhd., dan Syarikat Network Foods Malaysia Sdn. Bhd.
Pertandingan kitar semula ini menawarkan jumlah keseluruhan wang tunai sebanyak RM17,250. Hadiah bagi kategori sekolah rendah dan menengah tempat pertama akan menerima RM1,500 serta sijil penyertaan, tempat ke dua RM 1,300 serta sijil penyertaan, tempat ke tiga RM 1, 200 serta sijil penyertaan, ke empat RM 1,100 serta sijil penyertaan, ke lima RM 1,000 serta sijil penyertaan dan hadiah saguhati bagi tempat ke enam hingga sepuluh akan menerima RM200 berserta sijil penyertaan. Manakala bagi kategori tadika pula akan memenangi RM300 bagi tempat pertama, RM 200 tempat kedua, RM100 tempat ketiga dan tempat keempat hingga sepuluh pula akan memenangi hadiah wang tunai RM50 beserta hamper.
Manakala tiga kategori anugerah khas akan ditawarkan kepada pemenang bagi sekolah menengah dan sekolah rendah iaitu kutipan aluminium tertinggi, kutipan plastik tertinggi serta Anugerah Tetra Pak Tertinggi yang bernilai rm600 untuk setiap anugerah. Bagi kategori tadika pula akan disediakan Anugerah Khas Tetra Pak Tertinggi bernilai RM300. Anugerah ini merupakan kategori baru di dalam pertandingan ini dan disumbangkan oleh Syarikat Tetra Pak Malaysia Sdn. Bhd.
Majlis perasmian telah disempurnakan oleh YBhg. Dato’ Hj. Mohd Jaafar b. Hj. Mohd Atan, Datuk Bandar Shah Alam. Turut hadir pada majlis tersebut Dato’ Kamal Harun, Penasihat Hal Ehwal Korporat, F&N Beverages Marketing Sdn. Bhd., dan Puan Cariessa Goh, Pengurus Hal Ehwal Korporat, F&N Beverages Marketing Sdn. Bhd.
Pengembelengan usaha dan komitmen yang berterusan daripada semua pihak amat diharapkan supaya bandar raya Shah Alam ini akan kekal hijau, lestari dan mampan.