BERITA
Perasmian Laman Seni Shah Alam
5 Disember 2013
Laman Seni Shah Alam, Seksyen 2
Dalam usaha memperkasakan lagi aktiviti seni dan budaya, Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) telah mewujudkan Laman Seni Shah Alam bertujuan untuk menyediakan platform kepada orang ramai khususnya golongan pelajar untuk menyerlahkan bakat dan kreativiti melalui aktiviti persembahan, pameran dan seni lukisan mural.
Laman Seni Shah Alam yang terletak di Seksyen 2 akan menjadi lokasi tumpuan orang ramai khususnya golongan karyawan dan para pelajar untuk mengadakan persembahan secara santai seperti aktiviti deklamasi sajak, puisi dan persembahan pentas. Laman Seni ini juga akan membuka ruang kepada para pelajar untuk mempamerkan hasil kerja seperti lukisan dan produk untuk tatapan orang ramai.
Selain daripada itu juga, Laman Seni ini akan dibuka untuk aktiviti muzik jalanan (basking) untuk menghidupkan suasana di kawasan ini dengan pelbagai bentuk aktiviti seni dan kreativiti sekaligus dapat memperkembangkan lagi bakat mereka yang cenderung untuk menceburi aktiviti seni dan budaya.
Pihak MBSA juga telah melaksanakan inisiatif untuk mengindahkan lagi lorong belakang di kawasan komersial Seksyen 2 dengan kerjasama para pelajar dari Fakulti Seni Lukis dan Seni Reka, Universiti Teknologi Mara (UiTM). Melalui inisiatif ini para pelajar telah bekerjasama bersama pihak MBSA untuk menceria dan memperindahkan lagi dinding lorong belakang melalui lukisan mural pelbagai corak dan motif. Pihak MBSA juga telah menaiktaraf lorong belakang tersebut dengan menurap jalan dengan menggunakan kaedah "pebble wash" bagi memudahkan aktiviti dilaksanakan di lorong tersebut. Selain itu pihak MBSA juga telah menyediakan tempat meletak motosikal berbumbung bagi kemudahan dan keselamatan motosikal yang diletakkan di kawasan tersebut.
Projek Laman Seni Shah Alam ini merupakan inisiatif berterusan pihak MBSA untuk menyediakan lebih banyak ruang dan peluang kepada komuniti khususnya golongan pelajar sekolah dan pelajar dari Institusi Pengajian Tinggi (IPT) Awam dan Swasta untuk mengespresikan kreativiti dan bakat yang sedia ada. Ini selaras dengan matlamat pihak MBSA untuk menjadikan Shah Alam sebagai pusat bagi aktiviti seni dan budaya di Malaysia khususnya di Negeri Selangor.
Projek ini berjaya direalisasikan melalui perkongsian pintar (smart partnership) di antara pihak MBSA dan syarikat korporat iaitu Bank Muamalat Malaysia Berhad yang telah memberikan sumbangan wang tunai bagi menjayakan projek ini. Selain itu komitment yang jitu dan mantap telah diberikan oleh para pelajar dari Fakulti Seni Lukis dan Seni Reka, Universiti Teknologi Mara (UiTM) yang telah mengecat dan melukis mural pelbagai corak dan motif di lorong belakang tersebut.
Perasmian Laman Seni Shah Alam telah disempurnakan oleh Dato' Haji Mohd. Jaafar b. Haji Mohd Atan, Datuk Bandar Shah Alam. Pengarah Jabatan Perkhidmatan Bandar, MBSA. Turut hadir wakil dari Bank Muamalat Malaysia Berhad, UiTM, Ahli-Ahli Majlis dan Pengarah-Pengarah Jabatan, MBSA dan apra pelajar dari Fakulti Seni Lukis dan Seni Reka, UiTM.