Sidang Media Pertandingan Projek Laman Seni 7 Shah Alam

​BERITA

Sidang Media Pertandingan Projek Laman Seni 7 Shah Alam
6 Mei 2014
Hotel Concorde Shah Alam
 
Program pengindahan lorong belakang - Majlis Bandaraya Shah Alam anjur Pertandingan Projek Laman Seni 7 ketengahkan idea, bakat dan kreativiti generasi muda​

Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) akan menganjurkan Pertandingan Laman Seni Seksyen 7 yang merupakan kesinambungan dari kewujudan Laman Seni Shah Alam yang telah dilaksanakan di kawasan komersial Seksyen 2, Shah Alam, melalui Program Pengindahan Lorong Belakang.
Program Pengindahan Lorong Belakang yang merupakan inisiatif pihak Majlis untuk mengubah suasana lorong belakang khususnya di kawasan komersial menjadi kawasan yang selamat, bersih, indah dan boleh dilawati oleh pengunjung dan serta dijadikan lokasi penganjuran sebarang aktiviti yang bermanfaat. Hasil daripada pelaksanaan Projek Laman Seni, Shah Alam yang memberangsangkan, lorong belakang kawasan komersial Jalan Plumbum Q7/Q, Seksyen 7, Shah Alam menjadi pilihan pihak MBSA untuk melaksanakan pertandingan ini.
Pertandingan ini diadakan bertujuan mengubah persepsi masyarakat terhadap kawasan lorong belakang yang sering kali dianggap sebagai lokasi yang kotor, tidak terurus, terbiar, tempat pembuangan sampah/perabut lusuh dan tidak selamat kepada persepsi positif yang boleh memberi impak dan mengubah landskap dan persekitaran kawasan tersebut menjadi tempat tumpuan pelancongan, aktiviti seni dan budaya, kiosk perniagaan serta mengekalkan kehijauan dan keindahan landskap di kawasan lorong belakang.
Penyertaan pertandingan adalah PERCUMA, terbuka kepada semua individu atau kumpulan tidak kira usia dan latar belakang. 4 jenis kategori akan dipertandingkan iaitu ‘3D Painting’, ‘3D Installation’, ‘Street Furniture’ dan ‘Painting On Site’. Setiap peserta boleh menyertai 2 kategori sahaja dan 10 penyertaan terbaik dari setiap kategori akan dipilih ke peringkat akhir untuk dinilai dan layak mendapat sijil penghargaan serta diberi kebenaran untuk melaksanakan projek mereka di lokasi yang telah ditetapkan. Pertandingan ini bertemakan komuniti Shah Alam atau ‘Shah Alam community’, tarikan pelancongan atau ‘tourist attraction’ dan berkonsepkan kehijauan atau ‘green concept’.

Maklumat penyertaan boleh diperolehi melalui laman sesawang www.behance.net/khznh atau boleh menghubungi En. Shahrin b. Ahmad, Timbalan Pengarah Korporat di talian 013-3380551 atau Cik Nurazrina Azrin, Penolong Pegawai Perhubungan Awam, Bahagian Perhubungan Awam, Jabatan Korporat & Pembangunan Komuniti di talian 03-5522 2743 atau En. Mohd Afiq b. Tajul Ariffin di talian 013-330 6824. Penyertaan serta cadangan reka bentuk hendaklah diserahkan secara atas talian/online kepada khznh.studio@gmail.com. Tarikh tutup penyertaan pada 23 Mei 2014.
Majlis sidang media Pertandingan Laman Seni Seksyen 7 telah disempurnakan oleh YBhg. Dato’ Hj. Mohd Jaafar b. Hj. Mohd Atan, Datuk Bandar Shah Alam. Turut hadir pada sidang media tersebut adalah Ahli Majlis dan Pengarah Jabatan, MBSA.
Sehubungan dengan itu, pihak Majlis menjemput pihak yang berminat termasuk para pelajar sekolah, Institut Pengajian Tinggi Awam/Swasta, agensi kerajaan, sektor korporat dan badan bukan kerajaan (NGO) untuk menyertai pertandingan ini.

Sidang Media Laman Seri 7 01
Sidang Media Laman Seri 7 - 02
Sidang Media Laman Seri 7 - 03
Sidang Media Laman Seni 7
Sidang Media Laman Seni 7 - 05
Sidang Berita Laman Seni 7 - 06