BERITA
Majlis Bandaraya Shah Alam Latih Kakitangan Bersedia Hadapi Kecemasan
24 November 2014
Padang MBSA
Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) telah mengadakan Latihan Kebakaran (Fire Drill) 2014 bagi memberi pendedahan dan latihan menghadapi kecemasan kepada kakitangan Majlis dan penyewa bangunan Wisma MBSA. Latihan ini diadakan dengan kerjasama Jabatan Bomba dan Penyelamat Negeri Selangor.
Pihak MBSA mengambil langkah keselamatan dengan melatih kakitangan Majlis dan penyewa bangunan di Wisma MBSA persediaan menghadapi kecemasan dengan memberikan pendedahan menyeluruh terhadap keadaan sebenar dan kepentingan latihan kebakaran. Antara pendedahan yang diberikan adalah kaedah-kaedah menyalurkan bantuan awal dengan kadar segera dan pada masa yang sama memastikan keselamatan kakitangan MBSA serta para penyewa bergerak secara teratur dan tidak berada dalam situasi panik ke kawasan lapang (padang) yang terletak di belakang bangunan Wisma MBSA.
Latihan dimulakan dengan loceng kebakaran dibunyikan sebagai amaran kebakaran dan sesi latihan bermula. Kakitangan dan para penyewa telah berkumpul di padang bangunan Wisma MBSA mengikut jangka masa yang ditetapkan. Latihan ini bertujuan melihat pergerakan, tindakan dan masa yang diambil oleh kakitangan dan para penyewa dalam menghadapi situasi kebakaran sebenar. Taklimat keselamatan telah disampaikan oleh Tn. Mohd Khairi b. Daud, Ketua Balai Bomba, Seksyen 15, Shah Alam. Turut diadakan demostrasi menyelamat dengan menggunakan kaedah ‘Flying Fox’ dan ‘Abseiling’.
Dengan sesi latihan kebakaran yang diadakan ini, pihak Majlis berharap dapat memberikan pendedahan dan kesedaran kepada kakitangan serta para penyewa tentang bahayanya kebakaran dan sentiasa bersedia menghadapi situasi kecemasan serta mematuhi pelan tindakan keselamatan yang telah disediakan sekiranya berlaku kebakaran di bangunan Wisma MBSA. Turut hadir ke sesi latihan kebakaran ini adalah Tn. Mohtar b. Hani, Timbalan Datuk Bandar dan Pengarah-Pengarah Jabatan MBSA.