MBSA :MAJLIS PENYERAHAN PERMIT DAN KIT BAZAR RAMADHAN MBSA TAHUN 2026

 
11/02/2026
Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) telah mengadakan Majlis Penyerahan Permit dan Kit Bazar Ramadhan MBSA Tahun 2026 pada 11 Februari 2026 (Rabu) bertempat di Pusat Konvensyen MBSA, Seksyen 13 Shah Alam. MBSA telah meluluskan sebanyak 2,123 permit Bazar Ramadhan kepada para penjaja yang akan berniaga di sepanjang bulan Ramadhan pada tahun ini di 35 lokasi tapak bazar Ramadhan yang telah disediakan.

Pada masa yang sama, turut diadakan Majlis Pelancaran Usahasama Rakan Strategik di antara Menteri Besar Incorporated (MBI), Agrobank dan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) bagi program Bazar Ramadhan 2026. Usahasama menerusi inisiatif Platform Selangor (PLATS) ini adalah bertujuan untuk memperkukuh usaha menyokong usahawan mikro dan kecil melalui dua program utama.
Selain itu, turut diadakan Penyampaian Sijil Penghargaan kepada Rakan Kerjasama sempena Majlis Penyerahan Permit dan Kit Bazar Ramadhan MBSA Tahun 2026. Sebanyak lapan belas rakan kerjasama telah menerima sijil ini yang merupakan penghargaan oleh pihak MBSA kepada semua rakan strategik yang telah bekerjasama dan menyalurkan sumbangan tajaan kepada para usahawan kecil yang menjalankan perniagaan sepanjang penganjuran Bazar Ramadhan.

Majlis telah disempurnakan oleh Y.A.B. Dato’ Seri Amirudin bin Shari, Dato’ Menteri Besar Selangor, diiringi Y.B. Tuan Mohd Najwan Bin Halimi, EXCO Belia, Sukan dan Keusahawanan Negeri Selangor serta YBhg. Dato’ Haji Mohd Fauzi bin Haji Mohd Yatim, Datuk Bandar Shah Alam. Turut hadir, YBrs. Puan Safriah Binti Md Adzhar, Timbalan Datuk Bandar Shah Alam, Yang Mulia Dato’ Tengku Ahmad Badli Shah Raja Hussin, Presiden - Ketua Pegawai Eksekutif, Kumpulan Agrobank, YBrs. Encik Ahmad Azri Bin Zainal Nor, Ketua Yayasan Menteri Besar Selangor Pemerbadanan (MBI), Yang Mulia Tengku Ahmad bin Tengku Kasim, Ahli Majlis MBSA, YBrs. Ahli-Ahli Majlis dan pengurusan tertinggi MBSA.